mutakhir

Jalan Ajil ke Bukit Besi ditutup

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

JALAN Ajil ke Bukit Besi di Hulu Terengganu, hari ini ditutup pada semua kenderaan berikutan berlaku pemendapan tanah di Jambatan Kampung Kampung Pela, malam semalam.

Kejadian jam 11.50 malam itu menyebabkan laluan berkenaan berisiko dan tidak selamat digunakan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, langkah itu bagi membolehkan kerja baik pulih dijalankan selain menghindar kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Lencongan dibuat di Bukit Perah ke Marang, manakala dari Bukit Besi dibuat lencongan di Jalan Jerangau ke Kuala Dungun.

“Bagi memastikan pengguna jalan raya tidak keliru, papan tanda jalan ditutup kepada semua kenderaan sudah dipasang di simpang Bukit Besi dan lampu isyarat Ajil.

“Siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca berlaku kejadian itu dan kerja baik pulih sedang giat dijalankan” katanya.

Katanya, jalan itu akan dibuka semula kepada kenderaan selepas kawasan yang berlaku pemendapan dibaiki sepenuhnya.

“Orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Tok Dor ke Kampung Mok Mek ke Felda Bukit Bading, Simpang lampu Isyarat Ajil ke Bukit Perah ke Marang atau Bukit Besi ke Jerangau ke Kuala Dungun,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 2:56pm
d