mutakhir

Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas

Oleh Junaidi Ladjana

DUA kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun dikhuatiri lemas di sungai Kampung Cenderatama, Likas, Kota Kinabalu hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, dua kanak-kanak berkenaan dikatakan mandi di sungai itu sebelum kelihatan terkapai-kapai dan hilang di dalam air.

Orang kampung yang dimaklumkan mengenai kejadian itu mencari mangsa di kawasan kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima maklumat jam 12.15 tengah hari sebelum sepasukan bomba dikerah ke lokasi kejadian.

“Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu kini berada di lokasi untuk gerakan mencari dan menyelamat.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut dilakukan anggota Unit Skuba,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan.

Difahamkan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kejadian.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 3:22pm
d