mutakhir

[UPDATE] 'Abah sudah tiada, Qisya...'

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“MAK, abah nak gi mano?” tanya Nur Qisya Afrina Mohd Zainal, 6, anak sulung kepada seorang kerani yang maut bersama adik dan rakannya di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, Lubok Jong, Rantau Panjang, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Zainal, 33, dan adiknya, Mohd Zakaria Zainuddin, 22, serta rakan mereka, Muhammad Syadzaa Mohd Salleh, 23.

Manakala, seorang lagi penumpang Mohd Shakirim Hafizi Mohammad Shamsudin, 22, parah dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan.

Isterinya Siti Nur Wahidah Ahmad Fazmi, 30, berkata anak sulung daripada dua beradik itu bertanya sedemikian sebaik melihat bapanya terbaring kaku di dalam masjid sebelum disembahyangkan.

“Apabila ditanya demikian, saya mampu menjawab abahnya sudah tiada dan Nur Qisya tidak memberi sebarang maklum balas, mungkin kerana belum memahami perkara sebenar yang berlaku.

“Hubungan Nur Qisya dengan suami amat rapat dan mereka jarang berjauhan. Malah, sehari sebelum kejadian, arwah sempat keluar kira-kira jam 11 malam semata-mata untuk mencari nasi air untuk Nur Qisya yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui di Masjid Cabang Tiga, Rantau Panjang, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama dua anaknya berada di Tok Bali, Pasir Puteh untuk menyertai program perkelahan yang sepatutnya diadakan, hari ini.

“Kami sampai kira-kira jam 6 petang semalam, sebelum arwah bersama adiknya dan dua rakan keluar semula jam 1 pagi (tadi) untuk pulang ke Rantau Panjang bagi mengambil barang rakan yang tertinggal.

“Saya hanya mengetahui kemalangan itu selepas dihubungi rakan arwah kira-kira jam 2.30 pagi. Selepas sampai di hospital, baru saya tahu, arwah sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian arwah terbabit dalam kemalangan selepas kedua-dua tayar motosikalnya bocor, namun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Saya perasan, selepas itu dia dilihat banyak termenung dan apabila ditanya dia memberitahu memikirkan motosikalnya yang rosak.

“Pemergiannya amat dirasai, namun reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Syadzaa, Mohd Salleh Awang, 61, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu kira-kira 2.30 pagi.

“Saya kemudian terus ke hospital dan dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir saya bertemunya sehari sebelum kejadian, dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Ketiga-tiga jenazah dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, jam 3 petang ini.

Berita berkaitan

3 maut, 1 parah dalam nahas

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 5:32pm
d