mutakhir

[UPDATE] Suspek tetak warga Australia diburu

Oleh Recqueal Raimi

POLIS mendedahkan identiti dan gambar suspek yang diburu selepas menetak seorang warga Australia hingga menyebabkan kecederaan parah berhampiran Kampung Kiwoi, Tamparuli, Tuaran, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, suspek dikenali sebagai Roy, 30-an, yang juga warga Filipina tiada dokumen pengenalan diri.

“Setakat ini, polis masih giat mengesan suspek dan orang ramai diminta segera menghubungi pegawai penyiasat di talian 088-791933, 088-791966 dan 088-791977 atau tampil ke balai polis berhampiran jika ternampak suspek,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan pedang samurai untuk menetak mangsa, dan bukannya parang seperti yang dipercayai digunakan suspek sebelum ini.

Difahamkan, mangsa, Daniel Boardhurst, 46, yang juga pengusaha rumah penginapan di kampung berkenaan kini dilaporkan stabil, namun masih menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu.

Dalam kejadian jam 2.50 petang, Khamis lalu, suspek berang dan bertindak mengejar mangsa menggunakan pedang samurai dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dengan mangsa.

Mangsa cuba melarikan diri untuk meminta pertolongan, namun kedudukan lokasi kejadian yang sunyi dan dikelilingi hutan menyebabkan dia tidak sempat lari lalu ditetak di kedua-dua lengan dan belakang kepala.

Berita berkaitan

Usaha kesan suspek masih berjalan

Lelaki Australia parah ditetak

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 6:07pm
d