mutakhir

[UPDATE] Lelaki tumbuk isteri direman tujuh hari

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEORANG pesara polis yang yang bertindak membelasah isterinya kerana memajakkan pokok rambutan di Kampung Bukit Kadir, Nilai, kelmarin direman polis selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, reman bermula semalam hingga 31 Januari ini, selepas suspek menyerahkan diri jam 6 petang, kelmarin.

Katanya, pada kejadian 9.30 pagi itu, suspek berusia 63 tahun berang apabila isterinya berusia 58 tahun memajakkan pokok rambutan dalam kawasan rumah kepada penduduk kampung.

“Disebabkan itu suspek membelasah isterinya yang juga seorang pengasuh dengan menumbuk muka, menarik rambut dan menendangnya. Lelaki itu dikatakan mengambil parang lalu memecahkan cermin hadapan kediamannya,” katanya.

Menurut Mohd Nor Marzukee, mangsa mendakwa suaminya mengeluarkan sepucuk pistol lalu melepaskan tembakan ke udara sebelum sekali lagi ingin membelasahnya.

“Cubaan kali kedua tidak berhasil apabila ia dihalang anak lelaki mereka sebelum laporan dibuat di Balai Polis Nilai jam 3.40 petang,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi namun siasatan tidak menemui sebarang kelongsong peluru mahupun senjata digunakan.

“Pemeriksaan mendapati tiada pemilikan senjata dilakukan suspek. Polis merampas sehelai baju dan seluar yang dipakai lelaki itu ketika kejadian,” katanya.

Menurutnya, soal siasat menyaksikan suspek tidak mengaku melepaskan tembakan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960.

“Semakan turut mendapati lelaki ini seorang pesara di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai. Dia kini seorang imam di Masjid Kampung Bukit Kadir,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 6:10pm
d