mutakhir

Hanya lorong kecemasan di dua lokasi kritikal dibuka

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjelaskan pembukaan lorong kecemasan pada musim perayaan ini hanya membabitkan dua lokasi kritikal dan bukan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Lokasi itu adalah dari Simpang Pulai hingga Gopeng (KM287-KM295.1) dan dari Slim River hingga Sungkai (dari KM367.6-KM360.5), kedua-duanya sepanjang tujuh kilometer.

Dalam kenyataannya, PLUS memaklumkan pembukaan lorong kecemasan bertujuan melancarkan perjalanan orang ramai dan ia hanya diputuskan selepas PLUS dan polis membuat penilaian keselamatan di kedua-dua lokasi.

“Pembukaan hanya dikhususkan pada hari jumlah trafik tinggi dan kesesakan trafik kritikal serta selepas mendapat kebenaran polis di lokasi.

“Pembukaan lorong kecemasan ini juga hanya akan diadakan selepas semua papan tanda keselamatan, trak tunda (jika berlaku kemalangan) serta anggota keselamatan bersedia di lokasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah menggunakan lorong kecemasan bertujuan untuk meningkatkan kapasiti trafik di laluan utama, laluan lebih lancar seterusnya mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan.

“Langkah menggunakan lorong kecemasan ini akan dihentikan jika keadaan keselamatan di lokasi tergugat pada bila-bila masa saja.

“Berdasarkan kajian dan rekod PLUS pada musim perayaan lalu, kesesakan trafik teruk di kedua-dua lokasi terbabit.

“Oleh yang demikian, langkah untuk membuka lorong kecemasan di kedua-dua lokasi adalah untuk memberi kelegaan kepada orang ramai ketika bergerak pada waktu puncak pada musim perayaan akan datang,” katanya.

Berdasarkan rekod PLUS, perjalanan antara Slim River dan Sungkai sejauh 19 kilometer lazimnya memakan masa hampir 45 minit pada musim perayaan akibat trafik sesak.

Katanya, PLUS berharap langkah membuka laluan kecemasan di kedua-dua lokasi itu dapat membantu orang ramai bergerak dengan lebih selesa pada musim perayaan.

“Langkah ini juga adalah di peringkat percubaan bagi membantu syarikat ini menilai keberkesanannya tanpa mengabaikan keselamatan pengguna lebuh raya.

“PLUS menjangkakan 1.9 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari puncak pada musim perayaan ini berbanding 1.45 juta pada hari biasa iaitu peningkatan 24 peratus,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 6:22pm
d