mutakhir

Penuntut maut, motosikal bertembung kereta

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PENUNTUT Politeknik Port Dickson maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 15, Jalan Sua Betong-Pasir Panjang, Port Dickson, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Muhammad Izzat Fikri Mohd Ayob, 19, parah di kepala selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang berasal dari Klang, Selangor dikatakan dalam dalam perjalanan balik ke rumah sewanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai memotong sebuah kereta sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain yang dipandu lelaki berusia 32 tahun, namun pemandu itu tidak cedera.

“Mangsa yang cedera di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus menerima panggilan kecemasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 12:33pm
d