mutakhir

[UPDATE] Kenyataan rasmi akan diumum [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi menegaskan segala kenyataan rasmi berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya akan dibuat pihaknya, pada minggu hadapan.

Beliau berkata, perkara berkenaan amat sensitif kerana ia membabitkan kontrak bersama China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan pelbagai pihak lain.

Ditanya adakah kenyataan rasmi itu akan berbeza dengan pengumuman dibuat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam, Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Kena tunggu. Kerana perkara ini ada sangkut paut dengan kontrak dan sebagainya, sebab itu perlu tunggu (kenyataan) secara bertulis.

“Masa pengumuman sepatutnya minggu hadapan. Apa yang saya beritahu sebelum ini (terkejut) hanya berkaitan masa, bukan isi kandungan yang dikatakan Azmin,” katanya ketika ditemui pemberita di Georgetown, hari ini.

Semalam, Guan Eng dilaporkan terkejut dengan kenyataan Azmin berhubung pembatalan projek ECRL yang diterajui syarikat pemaju dari China, CCCC.

Beliau dipetik berkata, Azmin mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mesyuarat Kabinet, Khamis lalu.

Terdahulu, Azmin mengumumkan kerajaan membuat keputusan membatalkan projek ECRL, dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet.

Pembatalan itu dibuat kerana kerajaan tidak mampu menanggung kadar faedah projek hampir RM500 juta setahun.

Sementara itu, Guan Eng berkata, pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibuat esok, yang akan dimasukkan terus menerusi akaun bank penerima.

Katanya, penerima bagi BSH fasa pertama ini adalah mengikut pangkalan data lama, dan ia tidak perlu dikemaskini penerima.

“Penerima tidak perlu kemaskini apa-apa data tetapi pada masa hadapan mungkin kita akan buat pendaftaran semula untuk pastikan hanya yang layak saja menerima BSH,” katanya.

Berita berkaitan

Kontrak CCCC bagi projek ECRL dibatalkan

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 1:10pm
d