mutakhir

Remaja maut dipercayai rempuh lori

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

REMAJA lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai melanggar sebuah kenderaan di Kilometer 10.3 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Bulatan Batu Caves menghala ke Ampang, malam semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Hakimi Dali, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Batu Caves menghala Ampang.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan tidak dikenal pasti menyebabkan mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Berdasarkan serpihan ditemui di lokasi kejadian, kenderaan tidak dikenal pasti itu dipercayai adalah lori,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, mayat mangsa ditemui bersama motosikal ditunggangnya di lorong kiri laluan terbabit.

“Terdapat kesan serpihan motosikal mangsa dan kenderaan lain ditemui di lokasi kejadian. Usaha mengesan kenderaan terbabit sedang giat dijalankan.

“Setakat ini, tiada kenderaan lain yang tampil membuat laporan berhubung kemalangan itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 1:39pm
d