mutakhir

Gajah sesat resahkan penduduk

Oleh Safuri Kamarudin

KEHADIRAN seekor gajah betina yang berkeliaran menimbulkan kebimbangan kepada penduduk Kampung Bukit Hijau, Mukim Kupang, Baling sejak tiga hari lalu kerana turut merosak pelbagai tanaman.

Difahamkan, gajah itu datang dari Hutan Simpan Gunung Inas untuk mencari makanan selepas kawasan habitatnya diterokai untuk pembalakan.

Seorang penduduk, Alias Sulaiman, 50, berkata gajah itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya dan masuk ke kampung dan rumah penduduk yang berkedudukan 100 meter sahaja.

Katanya, penduduk di kampung itu yang bekerja sebagai penoreh getah kini takut untuk keluar menoreh kerana bimbang terserempak dengan haiwan terbabit.

“Malam tadi haiwan itu masuk dan memakan pokok pisang dan umbut kelapa menyebabkan banyak tanaman musnah.

“Gajah menghampiri rumah saya dan memusnahkan pokok pisang yang akan mengeluarkan hasil tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas mengikuti lawatan Pegawai Khas Penyelaras Parlimen Baling, Mohd Zuki Awang, hari ini.

Penduduk lain, Idris Yaacob, 50, berkata gajah betina itu masuk menghampiri rumah dan merosakkan tanaman kira-kira jam 3 pagi.

“Haiwan itu makan pisang, kelapa dan gembia ketika penduduk tidur. Banyak tanaman yang menjadi sumber pendapatan sampingan penduduk musnah dimakannya.

“Malah najis gajah penuh di kawasan dusun dan kebun getah dipercayai tidur berdekatan hutan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PRRHILITAN) Baling, Nor Sharim Muhamed Noor berkata, setakat ini tiada ancaman kepada manusia tetapi pihaknya akan membuat pemantauan berkala.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 3:17pm
d