mutakhir

[UPDATE] 3 PPS tutup, mangsa banjir meningkat

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

MANGSA banjir di Kota Marudu, Kota Kinabalu terus bertambah kepada 2,709 mangsa di tiga daerah setakat 4 petang, berbanding 2,607 mangsa pada tengah hari, hari ini, walaupun tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, mangsa banjir paling ramai di Kota Marudu, kini bertambah kepada 2,634 mangsa membabitkan 667 keluarga berbanding 2,470 mangsa daripada 518 keluarga tengah hari hari ini.

Katanya, ia diikuti mangsa banjir di daerah kecil Paitan membabitkan 48 mangsa daripada 11 keluarga dan 27 mangsa lagi membabitkan lapan keluarga di daerah Pitas yang masing-masing di empat PPS di kedua-dua daerah itu.

“Tiga PPS sudah ditutup setakat 1.30 tengah hari iaitu di Dewan Terbuka Matunggong yang menempatkan 24 mangsa dari daerah kecil Matunggong, Dewan Masyarakat Tun Said yang menempatkan 26 mangsa di Kota Belud dan Dewan Serbaguna Sipitang yang menempatkan 12 mangsa bagi daerah Sipitang.

“Ini bermakna ada 16 PPS lagi masih dibuka setakat ini dengan 12 di Kota Marudu dan masing-masing dua di Pitas serta daerah kecil Paitan. Jumlah keseluruhan mangsa di semua PPS terbabit setakat ini ialah 2,709 mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, katanya, seramai 62 mangsa di Kota Belud, daerah kecil Matunggong dan Sipitang dibenarkan pulang hari ini selepas keadaan banjir di daerah terbabit pulih.

Tengah hari tadi, jumlah mangsa dilaporkan meningkat berikutan pembukaan dua PPS baharu di daerah kecil Paitan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan seramai 2,607 mangsa berbanding 2,555 mangsa pagi hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mangsa banjir dipindahkan bertambah

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 6:48pm
d