mutakhir

Kes Wang Kelian, kerajaan tubuh RCI

Oleh Aizat Sharif

KERAJAAN menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kes penyeludupan manusia di Wang Kelian, Padang Besar, Perlis yang berlaku pada 2015 lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan RCI itu bagi menyiasat secara mendalam kes yang pernah menggemparkan negara empat tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini memang ada laporan termasuk juga siasatan polis yang dijalankan, namun bagi mengelak salah faham dan buruk sangka dalam kalangan masyarakat, maka RCI ditubuhkan.

“Nama ahli yang akan menganggotai suruhanjaya itu sudah dicadangkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita juga sudah menetapkan satu tempoh untuk laporan terhadap kes berkenaan disiapkan sebelum diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog Kongres Melayu Perlis di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra, Arau, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, laporan itu akan disiapkan dalam masa enam bulan sebelum dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Buat masa ini, kita hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi meluluskan nama ahli yang akan menganggotai suruhanjaya itu,” katanya.

Empat tahun lalu, ratusan kubur serta kem yang dipercayai menempatkan pelarian dari etnik Rohingya Myanmar ditemui di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar.

Krisis kemanusiaan terbesar itu menyebabkan kawasan berkenaan dikawal ketat pihak keselamatan yang mana sebelum itu kerajaan turut memansuhkan keistimewaan ‘free flow’ untuk rakyat Malaysia berulang-alik sejauh satu kilometer hingga kawasan Pasar Wang Prachan di kawasan Thailand berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengkaji kesesuaian untuk menambah jumlah anggota keselamatan di ICQ Bukit Kayu Hitam selepas termeterai persetujuan antara kerajaan Malaysia-Thailand untuk memanjangkan tempoh operasi di kawasan ICQ berkenaan kepada 24 jam bermula April ini.

“Kita akan kaji keperluan ini, jika perlu kita akan tetapkan bilangannya lebih ramai lagi.

“Namun, apa yang paling utama di sini adalah soal keselamatan. Malah, kita kena lihat situasi semasa yang sedang atau pernah berlaku seperti di Padang Besar dan Wang Kelian, namun kita kena pastikan kawalan keselamatan bagi kedua-dua negara dapat berjalan teratur,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 7:57pm
d