mutakhir

24 penagih ditahan polis

Oleh Shamsul Munir Safini

SERAMAI 24 penagih berusia 20 hingga 50 tahun diberkas polis dalam satu serbuan di Ujung Batu, Bagan Dalam, Butterworth, kelmarin.

Dalam serbuan jam 6 petang sehingga 12 tengah malam itu, polis juga merampas dadah heroin dengan anggaran berat 45.6 gram (g) dan syabu seberat 0.3 g.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM1,641.

Katanya, kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mereka positif dadah jenis syabu dan heroin susulan ujian saringan air kencing yang dilakukan.

“Suspek yang diberkas akan direman di lokap IPD SPU untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya.

Noorzainy berkata, polis akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi agresif berterusan di sarang penagih di daerah ini.

Katanya, beliau juga mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan jenayah yang membabitkan pengedar serta penagih di daerah ini.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 10:15pm
d