mutakhir

Berdikari jual kerepek

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

LELAKI orang kurang upaya (OKU) membuktikan mampu mencari rezeki halal, walaupun hanya menjual kerepek.

Ahmad Nizam Ismail, 41, berkata, dia tidak mahu menyerah kalah dengan kekurangannya itu dan menagih simpati orang ramai.

Menurutnya, dia berniaga kerepek di sekitar Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu dan harga ditawarkan murah berbanding dibeli di kedai.

Katanya, dia mengusahakan perniagaan berkenaan bersama rakannya, Mohd Noor Dini, 41, yang juga OKU dan bersyukur boleh menabung kira-kira RM500 sebulan dengan usaha itu.

“Rutin saya bermula 10 pagi di Hentian Bas Ekspress Kajang, Jalan Reko hingga petang sebelum menyambungnya di KL Sentral hingga 9 malam setiap hari,” katanya ketika ditemui di KL Sentral, hari ini.

Ahmad Nizam berkata, dia bersyukur kerana ahli keluarga dan rakan sentiasa menyokongnya dengan memberikan kata-kata semangat.

Katanya, dia pernah bekerja sebagai pembuat sampul surat di Ipoh, Perak pada 1996 dan selepas itu berkerja sebagai penyambut tetamu ketika berusia 20-an.

“Bagaimanapun, akibat kegawatan ekonomi pada 1997, saya diberhentikan. Selepas itu, 12 tahun saya tak kerja hingga 2009.

“Saya sayang ibu bapa dan adik-beradik lain, tetapi saya tak mahu menyusahkan mereka. Saya hendak buktikan, walaupun OKU kami boleh berdikari.

“Bukan mereka (keluarga) tidak mahu membantu, tetapi saya ada prinsip sendiri. Selagi ada kudrat walaupun demam sekalipun, saya akan gagahkan diri keluar berniaga,” katanya.

Ahmad Nizam juga bersyukur kerana menerima elaun RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak September lalu.

Kepada yang mahu membantu, Ahmad Nizam boleh dihubungi di talian 011-36307310, jika ada mahu membeli jualannya.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 10:45pm
d