mutakhir

Tarif air baharu di Melaka, Mac depan?

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

RAKYAT di Melaka bakal menerima berita gembira berhubung kadar tarif air yang akan diumumkan oleh kerajaan negeri, pada Mac depan.

Ketua Menteri, Adly Zahari bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu sehingga ia diumumkan kelak.

“Ada berita gembira untuk rakyat Melaka dan kita akan umumkan bulan tiga (Mac) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan angpau kepada 1,500 penerima membabitkan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi St David, Bukit Baru, di Melaka, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri sedang mempertimbang dua kaedah menangani kadar kenaikan tarif air yang dijangka berlaku tahun ini tanpa membebankan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Dua kaedah itu ialah memberikan insentif kepada kumpulan B40 dan menawarkan formula insentif kepada isi rumah yang menunjukkan penjimatan dalam menggunakan sumber air.

Perkara berkenaan kini sedang dibincangkan bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Terdahulu, Adly turut melawat tapak pembinaan dewan sekolah terbabit dengan kos keseluruhan dianggarkan RM700,000 dan memerlukan RM150,000 lagi untuk tujuan itu.

Turut hadir, Pengarah Kewangan Syarikat Xinyi Energy Smart, Datuk Sin Ket Hin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Lim Choe Beng dan Pemangku Pengetua SMK Tinggi St David, Dr M M Ravindran.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) akan membantu sekolah mendapatkan dana bagi pembinaan dewan berkenaan.

“Pihak sekolah masih kekurangan dari segi peruntukan, namun saya yakin mampu mendapat sumbangan melalui kerjasama ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 11:29am
d