mutakhir

Maut dihempap motosikal

Oleh Khalid Latip

MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila dihempap motosikal ditunggangnya di Jalan Punai, Sarikei, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, motosikal ditunggang Gana Peter, 27, dipercayai hilang kawalan lalu terhumban ke parit berkenaan sebelum dihempap.

Mangsa yang berasal dari Rumah Panjang Lingga, Sungai Selanggan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan teruk pada kepalanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Suna Kaha berkata, sembilan anggota bersama dua jentera bomba bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat bagi mengeluarkan mangsa.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa didapati terperosok dalam parit dalam keadaan meniarap dan dihempap motosikalnya.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pagi tadi.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian mengangkat mangsa dari parit berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 11:43am
d