mutakhir

Empat dekad tulis 'surat teriak' [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

WALAUPUN usianya sudah menjangkau 82 tahun, penulis surat berlesen di bawah jambatan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit, Alor Setar tetap setia menjalankan tugas itu tanpa mengenal panas dan hujan.

Dengan beralaskan lantai tanah yang berdebu serta kerusi dan meja plastik, menjadi rutin setiap hari bekerja, Abdul Jalil Sudin dan isteri Inson Ismail, 56, keluar seawal jam 7 pagi dari rumah mereka di Kampung Pisang, Bakar Bata di sini.

Sebaik selesai bersarapan di kedai, pasangan itu memulakan tugas mereka pada jam 8 pagi dengan menggunakan dua mesin taip lama sambil menunggu pelanggan.

Abdul Jalil atau lebih dikenali sebagai Pak Jalil berkata, dia tidak berniat untuk bersara dari melakukan tugas itu selagi masih dikurniakan kesihatan yang baik.

“Anak-anak sudah meminta saya berhenti melakukan kerja ini tapi saya tak mahu, jika duduk di rumah saya mudah bosan selain badan juga lesu.

“Selagi saya tidak menutup mata, selagi itulah saya tetap setia bekerja di sini kerana saya tahu tiada lagi pelapis menggantikan tugas yang tidak lagi popular hari ini,” kata bekas tentera itu.

Bercerita lanjut, Pak Jalil berkata, pada usia sebegitu dia masih dapat menaip dengan lancar dan mampu menyusun ayat yang diceritakan pelanggan dengan baik.

Katanya, selepas lebih empat dekad melakukan kerja itu, dia puas dapat membantu memudahkan orang ramai menulis surat biarpun hanya mengambil upah dengan bermula RM2 sehingga puluhan ringgit bergantung kepada jenis surat dan helaian.

Pak Jalil akan merangka isi kandungan surat rasmi terbabit sehingga mampu menimbulkan rasa kasihan dan kadang kala pembaca dan pelanggannya boleh menitiskan air mata.

“Saya dan isteri dikenali dengan nama penulis ‘surat teriak’, tujuan kami adalah untuk membantu pelanggan saya yang rata-ratanya berurusan dengan Jabatan Imigresen dan ada juga dari Mahkamah Syariah.

“Bukan sekadar menaip tetapi saya juga perlu memahami dan menyelami perasaan pelanggan, saya perlu membuat pelanggan rasa selesa kerana ada kalanya mereka perlu menceritakan perkara yang membuka aib mereka,” katanya yang mempunyai 21 cucu dan tujuh cicit.

Ditanya mengenai petua bagi menaip dengan lancar dan mengurangkan kesilapan ejaan, Pak Jalil berkata, dia mempelajarinya daripada juruteknik mesin taip 40 tahun lalu ketika mahu memulakan tugas itu.

Katanya, petua itu turut digunakan untuk memeriksa setiap huruf di mesin taip sama ada ia berfungsi dengan baik atau sebaliknya.

“Ayatnya ialah ‘The quick brown fox jumps over the lazy dog’, ayat ini mengandungi hampir keseluruhan abjad abc hingga z kecuali huruf x saja...ia sangat membantu saya untuk melancarkan jari-jemari menggunakan mesin taip termasuklah komputer.

“Alhamdulillah ia sangat membantu saya sehingga sekarang dan berharap petua saya ini dapat membantu pelajar yang baru belajar menaip,,” katanya yang juga mampu menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 1:19pm
d