mutakhir

Kes bunuh Jong Nam: Pihak pembelaan panggil enam saksi

Oleh Sarah Zulkifli

PIHAK pembelaan dijangka memanggil seramai lima hingga enam saksi untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

Saksi ini akan dipanggil selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, menetapkan perbicaraan peringkat prosiding membela diri terhadap tertuduh pertama warga Indonesia, Siti Aisyah dan tertuduh kedua warga Vietnam, Doan Thi Huong ditangguhkan pada 11 Mac depan.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan tarikh 29, 30 dan 31 Julai sebagai tarikh bagi kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, 30, berkata, semua saksi yang dipanggil dalam prosiding membela diri itu terdiri rakyat tempatan dan warga asing.

“Lima hingga enam saksi, termasuk termasuk Doan akan dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan peringkat membela diri ini.

“Doan dijangka memberikan keterangannya dari kandang saksi di mahkamah ini selama seminggu bermula 11 Mac depan, manakala Siti Aisyah pula pada 27 Mei,” katanya ketika ditemui selepas keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Azmi Ariffin, hari ini.

Dalam prosiding itu, Siti Aisyah, 27, dan Doan tidak hadir ke mahkamah dan mereka diwakili peguam Hisyam dan peguam Gooi Soon Seng (mewakili Siti Aisyah).

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya memerintahkan pihak pendakwaan dalam kes pembunuhan Kim Chol mengemukakan salinan rakaman percakapan tujuh orang saksi kepada peguam bela yang mewakili Siti Aisyah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pembelaan mendapatkan salinan rakaman percakapan terbabit dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Disember 2018 yang menolak permohonan mereka mendapatkan salinan rakaman percakapan.

Tujuh saksi itu ialah Ahmad Fuad Ramli, Lim Cheng Gam, Tomie Yoshio, Ng Wai Hoong, Dessy Meyrisinta, Raisa Rinda Salma dan Kamaruddin Masiod.

Pada 16 Ogos 2018, Siti Aisyah dan Doan diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh Kim Chol, 45, bersama empat lagi yang masih bebas di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada jam 9 pagi, 13 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Empat lelaki Korea Utara yang masih bebas itu dikenali sebagai Mr Chang atau nama sebenarnya Hong Song Hac, 34; Mr Y (Ri Ji Hyon),33; Hanamori (Ri Jae Nam), 57, dan James atau O Jong Gil, 55.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 2:15pm
d