mutakhir

Pecah rekod tempah tudung bawal RM50,000

Oleh Shahrinnahar Latib

SEORANG ahli perniagaan wanita di Pahang mencatat sejarah apabila bakal menjadi pembeli termahal tudung bawal di negara ini, apabila menempah tudung bertatah kristal Swarovski keluaran Bawal Exclusive pada harga mencecah RM50,000 sehelai.

Pembelian itu sekali gus memecah rekod jualan sehelai tudung bawal rekaan syarikat itu bernilai RM33,000 tahun lalu di cawangan premium Bawal Exclusive, As Galleria (AG), Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan.

Pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd, Haliza Maysuri berkata, tudung berkenaan ditempah di cawangan premium Bawal Exclusive iaitu Butik Byqiss di bangunan Kuantan Centre Point baru-baru ini, dan kini dalam proses rekaan.

“Kita sudah membuat bertemu dengan usahawan wanita berkenaan baru-baru ini untuk membincangkan rekaan tudung dan jumlah serta saiz kristal Swarovski yang diimport khas dari Austria.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan pereka Swarovski di Austria untuk menghasilkan rekaan batu seperti yang diminta oleh ahli perniagaan berkenaan,” katanya ditemui pada majlis minum petang sempena Ulang Tahun Butik Byqiss Ke-3 di Kuantan, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan turut dihadiri Pemilik Butik Byqiss, Datin Hamizan Puteh.

Haliza berkata, harga bagi tudung bawal berkenaan dijangka antara RM45,000 sehingga RM50,000 dan akan diserahkan kepada ahli perniagaan itu sebelum Aidilfitri tahun ini.

“Harga sebenarnya masih belum ditetapkan kerana ia berdasarkan pemilihan dan jumlah batu Swarovski yang akan digunakan....kain yang akan digunakan juga diimport dari Jepun malah kesemuanya adalah ‘custom made’,” katanya.

Beliau berkata, pada 2017 pula sehelai tudung bawal rekaan syarikat itu turut dijual dengan harga RM21,600.

Haliza berkata, pembelian tudung Bawal Exclusive oleh ahli perniagaan ini jelas menunjukkan walaupun fesyen tudung bawal sudah popular sejak awal penggunaan tudung namun ia masih menjadi pilihan pengguna.

“Hanya perubahan dalam rekaan dan pilihan fabrik saja memberi nafas baharu supaya tudung bawal terus memenuhi citarasa pengguna.

“Permintaan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun meyakinkan kami untuk terus fokus dalam penghasilan tudung bawal ini dengan keunikan kristal Swarovski,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 3:29pm
d