mutakhir

Tidur malam berteman ular

Oleh Mohd Rizal Abdullah

SEORANG lelaki tergamam sejurus menyedari dia ‘bermalam’ dengan ular tikus di bilik tidur rumahnya di Kampung Malanganggai, Limbang, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu merasakan sesuatu bergerak di bawah katilnya sebelum memeriksa keadaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Jack Julang berkata, lelaki terbabit tergamam apabila menyedari terdapat seekor ular berlingkar di bawah katilnya lalu menghubungi talian kecemasan.

Menurutnya, anggota bomba kemudiannya dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.39 pagi berhubung kejadian itu.

“Setibanya ke lokasi mendapati ular itu masih berada di bawah katil dan berjaya ditangkap menggunakan penjerut tidak lama kemudian,” katanya.

Ular tikus ataupun nama saintifiknya Elaphe Radiata kebiasaannya berwarna coklat kekuningan dengan garisan hitam di sepanjang badan.

Jack berkata, reptilia itu ditangkap menggunakan peralatan khas sebelum dilepaskan ke lokasi yang jauh dari kawasan penempatan.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 3:45pm
d