mutakhir

Terima kasih boh...

Oleh Nor Amalina Alias

LEBIH 300 motosikal menyerbu stesen minyak Petronas Jalan Hamzah, Kota Bharu hari ini bagi mengisi minyak petrol secara percuma.

Program isi minyak percuma itu dilakukan Syarikat Komputer, Monaliza Enterprise Sdn Bhd sebagai khidmat masyarakat.

Pengurusnya, Che Zarina Abdullah berkata, program mengisi minyak secara percuma itu dibuat selama sejam bermula jam 1 tengah hari hingga 2 petang.

Katanya, program itu sudah lima kali diadakan sesuai dengan slogan syarikat ‘hidup bermanfaat, beri manfaat’.

“Kita sengaja pilih jam 1 tengah hari hingga 2 petang kerana ketika itu waktu rehat sebab kita nak seberapa banyak motosikal mengisi minyak tanpa bayaran bagi meringankan beban mereka,” katanya ditemui di stesen minyak itu hari ini.

Che Zarina berkata, selain program mengisi minyak motosikal percuma, syarikat itu yang kini mempunyai 84 pekerja turut aktif menjalankan kerja kebajikan lain seperti mengagihkan nasi kepada pihak memerlukan.

Sementara itu, penunggang motosikal, Che Yahya Mohd Noor, 57, berkata, dia teruja dapat mengisi minyak petrol secara percuma hari ini.

Katanya, walaupun hanya dapat mengisi RM2 minyak kerana tangkinya sudah terisi namun dia bersyukur kerana dapat digunakan ke tempat kerja sebagai anggota Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan.

“Kebetulan melalui kawasan ini, saya dipanggil untuk mengisi minyak tanpa bayaran, walaupun dapat RM2 sudah ok, seeloknya program sebegini diteruskan kerana memang banyak membantu golongan bermotosikal kerana minyak keperluan utama untuk bergerak,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 4:12pm
d