mutakhir

PH dah gerun?

Oleh Idris Musa

PEMUDA UMNO mendakwa Pakatan Harapan (PH) gerun dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas kedua-dua parti terbabit bekerjasama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan PRK Cameron Highlands mengesahkan jika berlaku kerjasama BN dan PAS, ia mampu memberikan keputusan memberangsangkan.

“Sebab itulah PH hakikatnya gerun dan amat takut jika kerjasama ini benar-benar berlaku,” dakwanya menerusi catatan di Facebook beliau, hari ini.

Beliau mengemukakan analisis berasaskan angka keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, dengan mengambil kira 79 kerusi Parlimen dimenangi BN dan 18 kerusi oleh PAS.

Menurutnya, jika melalui gabungan BN dan PAS secara teorinya berdasarkan jumlah undi diperoleh kedua-dua parti sepatutnya mudah menang di 29 kerusi Parlimen lain, sekali gus mendapat jumlah 126 kerusi.

Katanya, 29 kerusi itu ialah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai, Kulim-Bandar Baharu, Parit Buntar, Tambun, Lumut dan Tanjong Malim.

Selain itu, Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Temerloh, Bentong, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kapar, Kuala Langat, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Tangga Batu, Sri Gading, Tanjung Piai.

Beliau berkata, kerusi Jerlun misalnya, gabungan undi calon BN(12,413) dan PAS (12,829) mengatasi undi calon PH yang menang (18,695).

Begitu juga katanya dengan kerusi Kubang Pasu, di mana gabungan undi calon BN (16,975) dan PAS (13,375) masih mengatasi undi calon PH yang menang (29,984).

Menurut Asyraf Wajdi, jika dijumlahkan kerusi Parlimen dimenangi BN (79), PAS (18) dan 29 kerusi terbabit (melalui gabungan BN-PAS), maka gabungan BN-PAS mudah menubuhkan kerajaan.

“Sebab itulah PH bersungguh-sungguh mahu memastikan kerjasama BN dan PAS ini tidak akan berlaku.

“Namun, Alhamdulillah PRK Parlimen Cameron Highlands telah membuktikan bagaimana kerjasama BN dan PAS telah meningkatkan majoriti BN daripada hanya 597 pada PRU14 kepada 3,238 undi dalam PRK yang baru selesai,” katanya.

From: Yeh

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 4:27pm
d