mutakhir

'Ini keputusan rakyat, kita terima'

Oleh Azura Abas

“INI sesuatu yang malang, namun ini adalah keputusan yang dibuat rakyat dan kita terima,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Sabtu lalu bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, kawasan luar bandar seperti Cameron Highlands sememangnya kubu kuat BN, selain parti itu turut memainkan isu perkauman pada PRK berkenaan.

“Kita mengadakan pilihan raya yang baik, tiada “hanky panky.” Keputusan adalah berdasarkan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat tertutup Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan Bersama Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Sabtu lalu, BN mengekalkan kemenangan di PRK Parlimen Cameron Highlands melalui calonnya, Ramli Mohd Noor yang meraih 12,038 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Ditanya bagaimana PH mahu berdepan dengan gabungan UMNO dan PAS yang dikatakan memainkan sentimen perkauman, Dr Mahathir berkata, semua perlu sedar bahawa rakyat sebenarnya tidak gembira dengan isu kos sara hidup yang tinggi.

“Kos hidup yang tinggi bagi orang kaya tidak bermakna apa-apa tetapi bagi orang miskin, ia masalah besar,” katanya.

Sementara itu, mengenai program eksekutif itu, Dr Mahathir berkata, beliau menjelaskan kepada badan berkanun bahawa mereka adalah kerajaan kecil dan mesti bertanggungjawab menguruskan organisasi seperti kerajaan.

Program berkenaan dengan tema “Badan Berkanun Persekutuan (BBP) Wibawa Pemacu Malaysia Baharu” yang julung kali diadakan, dihadiri 260 peserta terdiri daripada Ketua Pengarah Eksekutif, Pengurus Besar, Ketua Pengarah dan pengurusan kanan dari 132 BBP seluruh negara.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 7:42pm
d