mutakhir

Longgok kelapa sawit sorok tong gas [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

LONGGOK kelapa sawit depan stor bagi elak aktiviti jenayah mereka dikesan pihak berkuasa.

Itu tindakan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sebuah stor haram Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, sebelum ia berjaya dikesan dan diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam serbuan jam 2.30 petang hari ini, pihak KPDNHEP merampas 225 tong gas pelbagai saiz bernilai RM28,326 di situ termasuk yang sudah dipindahkan ke tong LPG bersaiz 50 kilogram (kg).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Seberang Perai Tengah (SPT), Mohd Suffian Mohd Abass berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam di kawasan itu.

“Hasilnya pihak kami semalam melakukan serbuan sebelum merampas 225 tong gas LPG.

“Rampasan terdiri daripada 15 tong LPG bersaiz 12 kg, 128 tong LPG 14 kg dan 82 tong lpg bersaiz 50 kg,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, pagar masuk zink di premis itu dikunci dan pihaknya terpaksa memecah masuk.

Katanya, hasilnya pihaknya menemui tong gas LPG bersubsidi sedang dipindahkan ke tong industri bersaiz 50 kg.

“Kami percaya ketika serbuan, terdapat seorang pekerja di premis berkenaan sebelum dia melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kawasan ini terletak di tepi jalan besar dan mereka cuba mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan longgokan kelapa sawit di situ kononnya ia lokasi mengumpul hasil tanaman itu,” katanya.

Beliau berkata, kawasan Nibong Tebal memang menjadi lokasi panas aktiviti memindahkan gas LPG bersubsidi ini selepas ia mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap.

“Harga bagi setiap tong 50 kg LPG yang tidak bersubsidi adalah RM130 dan sindiket menjual gas yang dipindahkan ini hanya dengan harga RM90.

“Industri kecil di sini sememangnya menggunakan gas-gas LPG industri bersaiz sedemikian, jadi tidak hairan kenapa ia mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Mohd Suffian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 9:04pm
d