mutakhir

'Pasal apa jadi lagu ni...'

Oleh Rosli Ilham

SEORANG suami bakal menyambut Tahun Baru Cina dalam keadaan menyedihkan apabila menemui isterinya mati dalam keadaan tergantung di kediaman mereka di Paka, Dungun, hari ini.

Wanita berusia 53 tahun itu ditemui mati tergantung di pintu biliknya dengan menggunakan tali rafia pada 4 petang.

Difahamkan ketika kejadian, suaminya yang berusia 59 tahun keluar ke bandar Paka manakala anak lelaki pasangan itu yang berusia 22 tahun sedang bekerja.

Sebaik pulang ke rumah, lelaki itu mendapati pintu depan dan semua tingkap rumahnya tertutup.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sebaik panggilan tidak dibalas, suami wanita itu bergegas pergi ke belakang rumah dan berjaya membuka pintu belakang.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, lelaki itu terkejut apabila menemui isterinya dalam keadaan tergantung dan segera memotong tali berkenaan.

“Lelaki itu dan anaknya kemudiannya menghantar wanita berkenaan ke Hospital Dungun dan dia disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Baharudin berkata, suami kemudiannya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan.

"Mayat mendiang kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun dan siasatan lanjut bagi mendapatkan punca kejadian itu masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, suami wanita terbabit berkata, tiada sebarang perselisihan faham antara dia dan mendiang isterinya itu.

"Saya sangat terkejut dengan kejadian ini, patutlah beberapa hari kebelakangan ini dia berpesan supaya saya menjaga satu-satunya anak lelaki kami dengan baik, rupanya dia nak pergi meninggalkan kami berdua," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 10:31pm
d