mutakhir

Pertahan keputusan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KERAJAAN diminta teguh mempertahankan keputusan melarang penyertaan atlet Israel dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 serta tidak tunduk dengan tekanan dan ugutan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang membatalkan hak Malaysia untuk menganjurkan kejohanan itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya amat mengalu-alukan ketegasan kerajaan berhubung hak isu hak kemanusiaan sejagat.

Beliau malah, mengimbau pengalamannya dijatuhi hukuman penjara dan didenda oleh mahkamah atas kesalahan terbabit perhimpunan haram di depan Universiti Malaya bagi membantah pasukan kriket Israel pada 1997.

"Saya bangga dengan keputusan Kabinet dan ketegasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun saya satu ketika dulu ditangkap dan akhirnya dipenjarakan kerana isu lebih kurang sama iaitu pembantahan terhadap kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia.

"Pada masa itu, Tun Mahathir selaku Perdana Menteri memperlekehkan apa yang saya sebut (bantah), namun akhirnya Kabinet memutuskan tidak benarkan penyertaan atlet Israel dalam kejohanan renang para dunia.

"Ketegasan ini amat membanggakan saya..., akhirnya beliau dapat melihat kepentingan kepada kita mempertahan sikap kita terhadap negara haram Israel yang menindas rakyat Palestin," katanya dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengulas keputusan kerajaan mempertahankan larangan ke atas atlet Israel daripada menyertai kejohanan antarabangsa anjuran Malaysia, susulan tindakan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak Malaysia menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

IPC dalam mesyuarat di London semalam mengumumkan Malaysia dilucutkan hak penganjuran kejohanan itu yang dijadual berlangsung di Kuching, Julai nanti.

Mengulas lanjut, Mahfuz mengakui Malaysia membayar harga yang tinggi dengan pembatalan hak penganjuran kejohanan itu dan menyeru seluruh rakyat memberikan sokongan kepada kerajaan dan perdana menteri.

"Inilah ketegasan kerajaan yang sangat dialu-alukan dan disanjung seluruh rakyat. Malah saya percaya hari ini, ditularkan bahawa penduduk Gaza berasa bangga dengan ketegasan Tun Dr Mahathir dan seluruh anggota Kabinet.

"Jadi saya minta kerajaan terus teguh pendirian dan tidak berganjak kerana tekanan dan ugutan jawatankuasa IPC. Kita tetap mampu membangunkan negara tanpa ada penganjuran sukan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya berpendapat isu pelucutan hak penganjuran itu adalah keputusan prerogatif IPC selaku Badan Kawalselia Paralimpik sedunia, namun tidak harus berlandaskan pada pandangan politik oleh mana-mana pihak baik dalam dan luar negeri.

Menurutnya, IPC juga wajar menghormati dasar luar negara anggotanya iaitu Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.

"Pemuda UMNO Malaysia berpendapat IPC telah melanggari batas sebuah badan kawalselia sukan dunia. Mereka seharusnya membantu penganjuran kejohanan oleh mana-mana negara anggota bukan menjadikan isu Israel, Anti-Semitik dan Israel sebagai modal untuk berpolitik.

"Kita berpendirian tegas bahawa penubuhan Israel adalah haram dan Malaysia tidak sesekali akan mengiktiraf negara Yahudi itu sebagai negara berdaulat dalam kalangan anggota masyarakat dunia.

"Malaysia hanya mengiktiraf Palestin sebagai pemilik tanah asal kawasan berkenaan dan itulah juga pendirian UMNO sejak penubuhannya," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, pihaknya juga menasihatkan Kementerian Belia (KBS) dan Sukan serta Majlis Paralimpik Malaysia untuk memastikan atlet Para negara masih terus boleh beraksi di kejohanan dunia yang lain.

Sehingga 10 malam ini, berita keputusan itu di akaun FB Paralympic Games mencatat lebih 56,000 komen dan 4,811 perkongsian yang menerima pelbagai respon.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 10:35pm
d