mutakhir

Mayat berjaya dikeluarkan [UPDATE]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEKERJA binaan warga Bangladesh yang terperangkap selepas konkrit di bahagian bumbung di sebuah bangunan dalam pembinaan di Kampung Baru Balakong, di Kuala Lumpur, jatuh, petang tadi, berjaya dibawa keluar jam 9.18 malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Azmi Osman berkata, pihaknya mengambil masa hampir lima jam untuk mengeluarkan mangsa.

“Kedudukan mangsa yang tersangkut di celah konkrit berkenaan di bahagian bumbung bangunan empat tingkat itu menyebabkan kami perlu berhati-hati sepanjang proses mengeluarkan mangsa memandangkan keadaan gelap serta lokasi runtuhan terletak di tempat yang tinggi.

“Pelbagai kaedah digunakan termasuk menebuk konkrit yang menghempap mangsa sebelum mayat pekerja binaan terbabit berjaya dibawa keluar jam 9.18 malam tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Azmi berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kami turut menjalankan pemeriksaan di sekitar bangunan dalam pembinaan itu bagi memastikan ia selamat untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, bangunan itu disahkan selamat untuk kerja pembinaan selepas ini,” katanya.

Difahamkan kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul, 49, bersama rakannya, Iqbal Hussein, 31, sedang mengeluarkan konkrit berkenaan sebelum ia terjatuh dan menghempap mangsa.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh terperangkap, manakala seorang lagi cedera di bahagian kaki selepas konkrit di bahagian bumbung bangunan terbabit jatuh.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 10:44pm
d