mutakhir

Pencetak bil air pun kena curi

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KAKITANGAN Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) terkejut apabila mesin pencetak bil yang ditinggalkan di motosikalnya ketika ke tandas sebuah restoran di Jalan Templer, Temiang, Seremban dilarikan individu tidak dikenali, semalam.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, pembaca meter SAINS terbabit sedang melakukan tugas pemeriksaan meter air di kawasan sekitar.

Katanya, ketika memeriksa meter air di sebuah restoran di situ, kakitangan lelaki berusia 30-an itu dikatakan memasuki tandas dan meninggalkan mesin pencetak bil di dalam bakul motosikalnya.

“Apabila kembali ke motosikalnya, kakitangan terbabit mendapati mesin pencetak bil itu hilang dipercayai dilarikan individu tidak dikenali,” katanya.

Kata sumber itu, kakitangan berkenaan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbel pada jam 10.15 pagi selepas aset milik syarikatnya dicuri.

“Kakitangan terbabit memaklumkan dia hadir bertugas dengan membawa dua peralatan iaitu mesin pembaca meter air dan pencetak bil. Jika satu daripadanya hilang, tugas tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 11:34am
d