mutakhir

Operasi cari anggota badan mangsa bunuh dihentikan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS masih belum menemui tangan, kepala dan kaki milik dua mangsa bunuh yang ditemui terapung di sungai berhampiran kawasan perumahan Desa Coalfields, Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, operasi mencari yang sudah melangkaui 300 meter dari lokasi kejadian juga sudah dihentikan.

“Setakat ini tiada penemuan terbaru dan identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dikenalpasti.

“Keputusan proses bedah siasat mendapati tidak diketahui punca kematian,” katanya ketika dihubungi ini.

Shafa’aton berkata, operasi mencari yang dilakukan pada Sabtu lalu juga tidak menemui sebarang apa-apa penemuan.

“Operasi berkenaan dijalankan pada jam 3 petang dan berakhir jam 5 petang di sekitar 300 meter radius dari lokasi mayat ditemui,” katanya.

Terdahulu, akhbar melaporkan penemuan satu mayat lelaki dan satu mayat wanita di sungai berkenaan oleh orang awam pada 4 petang semalam.

Kedua-dua mayat berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sempurna iaitu tiada kaki dan tangan dan sudah reput kerana dipercayai meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu.

Mayat dua mangsa terbabit dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dicampak di sungai berkenaan.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 12:47pm
d