mutakhir

Joli bilik 'rahsia'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tawar bilik ‘rahsia’ bersama khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing di sekitar Kuchai, di sini, yang diserbu pihak berkuasa, kelmarin.

Dalam serbuan bermula jam 11.30 malam itu, anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menjalankan pemeriksaan terhadap pengunjung di kedua-dua premis berkenaan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Azman Mahmood berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati kedua-dua premis berkenaan mempunyai jumlah pelanggan yang ramai.

“Dianggarkan lebih 100 pengunjung di kedua-dua premis itu. Jumlah pengunjung ramai dipercayai kerana pusat hiburan berkenaan menawarkan pelanggan berhibur secara peribadi melalui bilik disediakan bersama layanan GRO warga asing.

“Di dalam bilik itu, pelanggan mendapat lebih banyak privasi untuk mereka berhibur tanpa perlu bercampur dengan orang lain. Berdasarkan pemeriksaan, kadar bayaran berhibur di premis berkenaan bergantung kepada saiz bilik dan ‘keistimewaan’ diberikan terhadap mereka (pelanggan),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati sebuah daripada premis berkenaan beroperasi tanpa lesen sejak hampir setahun lalu.

“Kami menutup dan menyita barangan di premis itu kerana melanggar peraturan,” katanya.

“Dalam operasi sama, seramai 115 pengunjung di pusat hiburan berkenaan diperiksa dan 36 daripada mereka termasuk 12 wanita berusia 20 hingga 50 tahun didapati positif pelbagai jenis dadah,” katanya.

Katanya semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 1:17pm
d