mutakhir

Nak lari mana 'orang minyak'?

Oleh Noorazura Abdul Rahman

OPERASI Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di sebuah kilang di Pokok Sena, Alor Setar, semalam gempar dengan penahanan ‘orang minyak’.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, pihaknya melakukan serbuan di premis berkenaan dengan menyasarkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun katanya, seorang pekerja asing cuba melarikan diri tetapi dia tiba-tiba tergelincir dan terjatuh dalam tong minyak pelincir.

“Anggota menemuinya dalam keadaan dia berlumuran minyak dan pemeriksaan mendapati dia warganegara Bangladesh berusia 29 tahun, namun tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Turut ditahan, dua lagi pekerja warganegara sama yang melakukan kesalahan serupa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain premis itu, Zuhair berkata, pihaknya turut melakukan serbuan di ladang cili dan menahan 10 pekerja Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, ketika serbuan terdapat seorang lelaki cuba melarikan diri tetapi berjaya dikepung oleh anggotanya.

“Semua tahanan berusia antara 16 hingga 42 tahun, kemudian dibawa ke lokap Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) dan Per 39 (B) Peraturan Peraturan Imigresenn 1963,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 2:35pm
d