mutakhir

Tengku Hassanal ringan tulang

Oleh Abdul Razak Raaff

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah sudah menunjukkan keperibadian sebagai pemimpin ketika mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuantan.

Ia diakui sendiri bekas guru Matematik dan Bahasa Melayu sekolah itu, Khabtiah Zakaria, 65, yang pernah mengajar baginda ketika berada di Tahun Satu dan Dua.

Katanya, walaupun Tengku Hassanal pemalu dan pendiam, namun tidak kekok membantu rakan sekelas atau murid lain terutama yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, sifat keperibadian lain baginda ialah cepat mesra dengan guru serta pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran termasuk bergaul dengan rakan sejak memulakan persekolahan di peringkat rendah pada 2002.

“Baginda akan membantu murid lain sama ada memberi makanan atau wang jika mengetahui mereka ditimpa kesusahan... Tengku Hassanal memang suka menolong orang.

“Dalam kelas dia juga ringan tangan membantu mengajar rakan sekelas lain terutama dalam mata pelajaran yang diminati iaitu Bahasa Inggeris... baginda kadang-kala pusing dalam kelas dan bertanyakan rakan yang lain apa yang boleh dibantu,” katanya hari ini.

Khabtiah yang berasal dari Kampung Parit, Pekan berkata, baginda juga aktif dalam sukan olah raga dan bola sepak serta mewakili rumah sukan Biru.

“Bagi saya, Baginda tidak pernah meletakkan dirinya sebagai anak raja apabila berada di sekolah menyebabkannya senang didekati sama ada rakan, guru dan kakitangan sekolah,” katanya.

Beliau yang mula mengajar pada 1987 sehingga 2008 berkata, walaupun sudah bersara tetapi baginda sering menziarahinya dan bertanya khabar sama ada datang ke rumah atau menghubunginya menerusi telefon.

Katanya, baginda juga menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik sejak Tahun Satu dan turut dilantik sebagai Pengawas ketika Tahun Tiga.

“Walaupun sudah lama meninggalkan sekolah berkenaan, baginda sering menghubungi saya bertanya khabar dan kadang kala berkongsi cerita ketika dia belajar di United Kingdom,” katanya yang mengakui berbangga kerana Tengku Hassanal dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang serta Pemangku Raja Pahang.

Sementara itu, bagi bekas jururawat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Datin R Pathma, 70, yang menjaga Tengku Hassanal sejak dilahirkan 17 September 1995 di hospital itu menyifatkan baginda seorang yang sopan santun, rendah diri dan menghormati orang lain.

Beliau yang mula bertugas di HTAA sejak 1975 hingga 2005 juga berkata, baginda menggemari putu mayam dan kari kambing setiap kali berkunjung ke rumahnya di Jalan Haji Junid, Kuantan, pada perayaan Deepavali.

“Senang jaga dan uruskan baginda ketika bayi dan tiada banyak ragam... begitu juga dengan adinda baginda yang lain.

“Saya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga baginda sejak dilahirkan dan melihatnya dari kecil sehingga sekarang menjadi Tengku Mahkota Pahang,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 4:18pm
d