mutakhir

Bukan coli biasa-biasa...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

UBAH suai baju dalam sebelum memasukkan dadah ketamin untuk diseludup ke luar negara.

Itu modus operandi seorang lelaki berusia 35 tahun yang ‘pakar’ dalam pengubahsuaian barang kelengkapan wanita sebelum menjadikan wanita sebagai keldai dadah.

Selain baju dalam, lelaki terbabit turut mengubahsuai kasut wanita, telefon pintar dan bekas air.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagaimanapun kegiatan lelaki berkenaan ditumpaskan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Prima Pelangi, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Beliau berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 8 malam.

“Hasil serbuan menemui 3.7 kilogram (kg) dadah jenis ketamin yang diletakkan di dalam bungkusan plastik lutsinar.

“Selain itu, polis turut merampas mesin jahit , barang kelengkapan wanita seperti baju dalam dan kasut wanita,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, selain itu polis turut merampas dua pistol angin jenis Glock dan Berreta serta satu senjata jenis M4.

Beliau berkata, polis turut menyita dua kereta Mercedes Benz bernilai RM100,000.

“Setakat ini polis masih menyiasat sama ada suspek beroperasi secara sendirian atau terbabit dengan sindiket dadah.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu bertindak sebagai pakar pengubahsuaian yang akan memodifikasi barang kelengkapan wanita untuk menempatkan dadah,” katanya.

Mazlan berkata, selepas diubahsuai barang kelengkapan itu akan diserahkan kepada keldai dadah untuk dipasarkan di luar negara.

“Sindiket membawa keluar dadah berikutan harga dadah di luar negara lebih tinggi berbanding di Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 4:19pm
d