mutakhir

Imam mengaku tak amanah, sorok pistol polis

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

POLIS mengesahkan pistol yang dirampas daripada seorang imam susulan insiden melepaskan tembakan di Kampung Bukit Kadir di sini, Khamis lalu adalah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, revolver yang ditemui semula, kelmarin berserta 90 peluru itu dilaporkan hilang dari stor senjata Balai Polis Kuala Pilah pada 31 Disember 2007.

Katanya, suspek dipercayai menyembunyikan senjata itu ketika masih bergelar sarjan polis dan berkhidmat sebagai penolong pegawai bertugas di Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

“Ia terbongkar apabila suspek melepaskan tembakan selepas bergaduh dengan isterinya berusia 58 tahun. Pemeriksaan pada nombor siri pistol yang dirampas mengesahkan ia milik PDRM.

“Malah, suspek mengaku dia melakukan perbuatan itu secara tidak beramanah,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurutnya, suspek masih direman sehingga Khamis ini.

Metro Ahad melaporkan akibat berang isterinya memajakkan pokok rambutan kepada penduduk kampung, seorang pesara polis yang juga imam menumbuk muka, menarik rambut dan menendang mangsa yang berusia 58 tahun.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu , suspek turut didakwa melepaskan tembakan ke udara sebelum dia menyerahkan diri kepada polis pada 11 malam.

Suspek pada mulanya tidak mengaku melepaskan tembakan, namun ketika soal siasat kali kedua, dia membuat pengakuan sehingga membawa kepada penemuan senjata api dan peluru di dalam stor rumahnya.

Berita berkaitan

Tumbuk isteri kerana pokok rambutan

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 4:39pm
d