mutakhir

Masih tunggu laporan bedah siasat

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

BEDAH siasat ke atas dua mangsa yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang semalam selesai pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat yang akan menentukan punca kematian kedua-dua mangsa.

“Kita hantar untuk bedah siasat, jadi kita belum dapat keputusan. Kita akan tengok semua kebarangkalian, kalau mati disebabkan kebakaran, kebakaranlah... Kalau ada unsur lain, kita akan ambil tindakan berdasarkan apa yang ditemui.

“Prosedurnya adalah, selepas bedah siasat, kita akan hantar sampel ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Jabatan Kimia akan buat analisis daripada pelbagai aspek seperti apa yang terkandung dalam darah, kerongkong atau paru-paru mangsa.

“Kita jangka analisis oleh Jabatan Kimia akan mengambil masa satu hingga dua minggu. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan 2019, di Dengkil, hari ini.

Semalam, BERNAMA melaporkan hajat sepasang suami isteri untuk bersanding awal bulan depan tidak kesampaian apabila mereka berdua maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista.

Mangsa kebakaran yang berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari itu dikenali sebagai Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, kedua-duanya penjawat awam yang bertugas di JPN Putrajaya.

Difahamkan mereka merancang untuk mengadakan majlis persandingan sebelah perempuan pada 2 Februari di Kangar, Perlis dan sebelah lelaki pada 6 Februari di Jerteh, Terengganu.

Sementara itu, pengguna Facebook yang mengaku sebagai rakan sepejabat kepada kedua-dua mangsa berkata pasangan itu sudah

bernikah baru-baru ini tetapi belum sempat melangsungkan majlis bersanding.

Difahamkan, pasangan berkenaan yang berkhidmat di Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, JPN Putrajaya juga sudah mengedarkan kad jemputan majlis perkahwinan mereka kepada rakan sepejabat.

Berita berkaitan

'Hajat bersanding tidak kesampaian'

'[UPDATE] Mangsa kedua disahkan meninggal dunia'

'Wanita maut, lelaki cedera dalam kebakaran'

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 5:19pm
d