mutakhir

Pengembala kambing pintar

Oleh Ahmad Ismail

WANITA yang juga penerima Anugerah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), tidak malu menceburi bidang penternakan kambing, malah bangga apabila menjadi penternak berjaya.

Ina Syazana Ishak, 30, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Teknologi Perladangan dan Pengurusan itu, bertekad mengembala sendiri kambing kira-kira dua tahun lalu selepas menimba pengalaman bekerja di pusat ternakan kambing selama tiga tahun.

Katanya, bermula dengan empat ekor kambing, kini membiak sehingga 13 ekor dan dia bertekad untuk terus menambah serta membiak lebih banyak baka kambing.

“Saya tidak kisah dengan pelbagai gelaran orang.. Ada yang panggil pengembala lepasan menara gading... Ada yang kata penat perah otak di universiti tetapi berbau kambing,” katanya kepada NSTP, di Kampung Chodan, Segamat, hari ini.

Menyifatkan penternakan kambing sebagai pekerjaan sunnah dan mampu menyelami kehidupan haiwan, Ina Syazana berkata, kata-kata orang ramai itu sebenarnya memberi semangat untuknya terus berusaha mengembangkan ternakannya.

Katanya, sebaik menamatkan pengajian pada 2013, dia pada mulanya bekerja di sebuah pusat ternakan kambing di daerah ini kerana minat dalam bidang penternakan.

“Peluang bekerja di pusat penternakan kambing digunakan sepenuhnya untuk mendalami ilmu ternakan kambing sebelum saya mengambil keputusan berhenti kerja.

“Ia bagi membolehkan saya menumpukan perhatian kepada penternakan kambing sendiri dengan pada mulanya menternak tiga ekor kambing betina dan seekor kambing jantan,” katanya.

Ina Syazana berkata, dengan modal permulaan sebanyak RM7,000 dia turut membina kandang kambing berhampiran rumahnya dan selepas dua tahun, dia kini mempunyai 13 ekor kambing.

Katanya, penternakan itu dimulakan hasil simpanan sepanjang bekerja dan bantuan bapanya, Ishak Auyok, 60.

Katanya, dia bersyukur mendapat sokongan keluarga yang sentiasa memberi kata semangat.

Berdepan cabaran beberapa kambing peliharaannya mati pada peringkat permulaan tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi meneruskan usahanya.

Katanya, kambingnya yang turut mempunyai nama sendiri seperti Bobby, Bobok, Adik dan Jojo, menjadi penyeri rutin sehariannya yang sentiasa memastikan haiwan peliharaan dijaga dengan sebaiknya, selain turut mendapat nasihat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Saya merancang membeli lebih banyak baka kambing bagi memenuhi permintaan pasaran. Kambing sebenarnya sentiasa mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 5:45pm
d