mutakhir

Amihizam kini Timbalan OCPD Subang Jaya

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SUPERINTENDAN Kolaborasi Domestik, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Superintendan Amihizam Abdul Syukor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah (OCPD) Subang Jaya baharu, berkuat kuasa hari ini.

Amihizam menggantikan Superintendan Risikin Satiman dan majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Muhammad Azlin berkata, pihak IPD Subang Jaya mengalu-alukan kehadiran Amihizam serta berterima kasih kepada Risikin yang berkhidmat sebagai timbalannya selama tiga bulan dan dua hari.

“Pada hari ini, kita bersama meraikan kehadiran Timbalan Ketua Polis baharu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Ketua Polis lama yang juga akan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Subang Jaya baharu pada 30 Januari ini.

“Kejayaan IPD Subang Jaya terbukti melalui keberkesanan pencegahan jenayah serta jumlah pertuduhan jenayah yang tertinggi di Selangor, jadi saya percaya IPD Subang Jaya akan berterusan melangkah ke hadapan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Sementara itu, Amihizam berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab baru itu dengan berusaha memberi khidmat terbaik dan fokus kepada memperkuatkan komuniti bagi membantu dalam pencegahan jenayah.

“Peranan komuniti penting dalam mencegah aktiviti jenayah tambahan pula dengan bilangan anggota polis tidak ramai, jadi kerjasama dengan komuniti adalah amat diperlukan,” katanya.

Amihizam yang dilahirkan di Selangor berkhidmat selama 25 tahun sebagai anggota polis dan sebelum ini ditugaskan di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Sarawak.

Jawatan terakhir beliau sebelum ini adalah sebagai Superintendan Kolaborasi Domestik, Kepolisan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman selama dua tahun sebelum menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera pada 2018.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 6:52pm
d