mutakhir

Laluan terhalang akibat dahan patah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

HUJAN lebat serta angin kencang sejak jam 4 petang menyebabkan dahan pokok di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar, Kuala Lumpur, patah dan menghempap bumbung pejalan kaki di sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.15 petang hari ini.

“Lima petugas skuad penyelamat dan skuad kecemasan DBKL dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengalihkan dahan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati dahan berkenaan menghempap bumbung pejalan kaki hingga menyebabkan laluan masuk ke sekolah terbabit terhalang.

“Kami mengambil masa beberapa minit untuk memotong dahan berkenaan sebelum mengalihkannya ke tepi jalan. Tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya turut membuat pemantauan di beberapa laluan di Jalan Loke Yew, Jalan Cheras, Jalan Yew, Jalan Pudu, Desa Water Park dan beberapa lokasi lain yang berisiko dilanda banjir kilat di sekitar ibu kota ini.

“Sejak hujan lebat sejak jam 4 petang, kami melakukan pemantauan di beberapa lokasi sekitar pusat bandar yang berisiko dilanda banjir kilat sebagai langkah persediaan terhadap sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 8:27pm
d