mutakhir

'Minta maaf, minta maaf...'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

“MUJURLAH tidak kena saman...minta maaf, selepas ini saya janji tak buat lagi dan akan patuh pada undang-undang.”

Itu adalah antara reaksi pemilik premis di sekitar Lebuh Carnavon dan Lebuh Melayu, Georgetown selepas dikunjungi Penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semasa Kempen Pedestrian Is King 2.0 dijalankan hari ini.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Shahrudin Mohamed Shariff berkata, pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengekang tindakan pemilik premis meletakkan halangan di kaki lima dan laluan pejalan kaki, namun ia ibarat sia-sia.

Beliau berkata, bagi mendidik masyarakat, MBPP meneruskan kempen berkenaan di beberapa lokasi sekitar Georgetown selaras dengan misi negeri ini ke arah mewujudkan Bandar Mesra Pejalan Kaki.

Katanya, sebagai permulaan kempen, pemilik premis yang dikenalpasti akan diberi nasihat serta amaran mengenai kesalahan dan memberi tempoh sehingga sebulan bagi mengatasinya.

“Kami mahu memberi pendidikan bagi menyuntik kesedaran mengenai kesan tindakan mereka terhadap orang ramai.

“Kempen hari ini membabitkan Lebuh Melayu, Lebuh Carnavon, Lebuh King selain Jalan Datuk Keramat dan ia akan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Shahrudin berkata, surat akan dikeluarkan kepada pemilik premis mendirikan halangan dan sekiranya tidak dipatuhi, tindakan merobohkan struktur akan dijalankan MBPP.

Beliau berkata, bagi halangan sementara seperti meletakkan kenderaan atau barangan perniagaan, MBPP akan mengeluarkan kompaun serta-merta kepada pemilik premis.

“MBPP hanya mahu menyediakan laluan kaki lima yang bebas halangan dan secara tidak langsung dapat menarik pengunjung ke premis mereka.

“Selain itu, kempen ini dapat meningkatkan keselamatan dan menggalakkan orang ramai berjalan kaki serta meningkatkan atau menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Dalam tinjauan itu, terdapat peniaga menjalankan aktiviti jual beli di laluan pejalan kaki yang ternyata menyalahi undang-undang selain turut mengundang bahaya kepada mereka sendiri.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 9:48pm
d