mutakhir

16 PATI kena cekup

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

SERAMAI 16 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah atas pelbagai kesalahan di empat lokasi di Sungai Petani, semalam.

Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata, dalam Ops Bersepadu itu, pihaknya memeriksa dua premis perniagaan, tapak pembinaan dan rumah urut selepas memperoleh maklumat dan hasil risikan dibuat.

“Kita menjalankan pemeriksaan terhadap 283 warga asing yang terdiri daripada pelbagai negara dan didapati 16 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan mengikut akta imigresen.

“Mereka ini terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh; lima lelaki dan empat perempuan Indonesia; dua lelaki Pakistan serta empat perempuan Thailand. Semua mereka berumur antara 21 hingga 43 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa dan Perkara 39(b) Peratuaran-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar atau gagal mematuhi syarat-syarat pas atau permit.

“Semua mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depoh Imigresen Belantik, Sik,” katanya.

Katanya dalam operasi bermula jam 10.30 pagi dan berakhir 7 malam itu, seramai 15 pegawai Imigresen daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Kedah terbabit dalam operasi penguatkuasaan berkenaan.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 10:41am
d