mutakhir

Angkasa perkenal program BA100 bantu pengguna

Oleh Garret Dawum

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memperkenalkan program Barang Asas 100 (BA100) sebagai langkah untuk mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup sekali gus dapat membantu meringankan beban pengguna.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti kira-kira 3,000 kedai serbaneka yang diusahakan oleh gerakan koperasi di seluruh negara bagi menjadi outlet untuk menyalur dan menjual barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung.

“Harga yang ditawarkan nanti juga akan lebih murah iaitu antara 10 hingga 20 peratus berbanding harga pasaran.

“Apabila semua kedai sudah dikenal pasti, ia bakal dilaksanakan menjelang Mei ini,” katanya selepas majlis penyerahan cek kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima di Wisma Ungku Aziz Angkasa, semalam.

Sumbangan RM92,040.20 diserahkan kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian Mohammad Khaidir A Majid sambil disaksikan Naib Presiden Angkasa Datuk Mohamad Ali Hasan.

Abdul Fattah berkata, menerusi program itu pihaknya juga merangka satu sistem yang memantau 100 barang keperluan asas yang dijual.

Sementara itu, katanya, penyerahan sumbangan itu selari dengan prinsip ketujuh koperasi iaitu prihatin kepada masyarakat.

“Program kutipan seperti itu bukan saja untuk Rohingya tetapi turut diadakan apabila berlaku malapetaka dan bencana seperti taufan di Filipina dan gempa bumi melanda Sulawesi, Indonesia baru-baru ini.

“Hasil sumbangan ini diperoleh daripada ahli koperasi dan koperasi di seluruh negara. Memang kita selalu menghulurkan sumbangan sebagai sebahagian daripada semangat kemanusiaan,” katanya.

Mohammad Khaidir pula berkata, tabung Kemanusiaan Media Prima sudah mengumpul lebih RM761,000 sejak ditubuhkan pada November 2016.

Katanya, wang sumbangan itu akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan di negara ini khususnya Mercy Malaysia yang melakukan misi bantuan perubatan dan kemanusiaan di Myanmar.

“Mercy Malaysia sudah gunakan wang ini dalam kerja pembinaan klinik di Rakhine, Myanmar,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 11:07am
d