mutakhir

Macam miskin sangat

Oleh Amir Abd Hamid

“MISKIN sangatkah Malaysia sehingga terpaksa menjana pendapatan dengan jual beli sisa plastik termasuk sampah bahan itu?

“Isu Malaysia import sisa plastik sudah diperkatakan dengan meluas di media antarabangsa seperti Al-Jazeera dan sebagainya. Ini satu perkara memalukan dan kerajaan wajar menghentikan industri ini di negara kita,” kata Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Katanya, PEKA sebelum ini melakukan tinjauan di kawasan banyak lambakan kilang haram seperti di Jenjarom, Kuala Langat dan sekitar Pelabuhan Klang sebelum menghantar aduan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC).

Menurutnya, beliau yakin Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin serius untuk menyelesaikan masalah berkenaan termasuk arahan terbaru memberi tempoh hingga Mac ini untuk menutup 100 kilang plastik haram di seluruh negara.

“Media antarabangsa memperkatakan mengenai Malaysia jadi pusat pembuangan sampah antarabangsa. Saya tidak faham mengapa ini berlaku.

“Sedangkan negara ini kaya sumber alam yang boleh dioptimumkan selain berpotensi urus niaga lain berbanding terbabit dengan perniagaan sampah atau sisa plastik walaupun dikatakan menjana RM30 bilion.

“Saya harap Menteri berkaitan termasuk Yeo bersungguh-sungguh menyelesaikan isu ini dan turut mendapat sokongan semua ahli politik dan jentera kerajaan seluruhnya. Saya sedar ia tanggungjawab yang bukan mudah untuk dilaksanakan sebab ramai tauke besar di belakang industri itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Save Our Rainforest Race (SORR) 2019 yang akan berlangsung 3 Mac ini di Taman Botanikal Melaka, Melaka.

Hadir sama, Pengarah Perhutanan Negeri Melaka Azni Rahman A Wahid.

Penganjuran SORR 2019 sempena Hari Hutan Antarabangsa itu bertemakan Save Our Rainforest to Save Our Wildlife (Selamatkan Hutan Untuk Melindungi Hidupan Liar) dan pendaftaran atau maklumat lanjut boleh layari www.pekamalaysia.org

Sementara itu, Azni Rahman berkata, kawasan hutan simpanan kekal di Melaka hanya tinggal tiga peratus atau 5,199 hektar menyebabkan pihaknya melakukan inisiatif menanam pokok hutan secara agresif.

“Kita sudah menanam 5,000 pokok hutan tahun lalu dan tahun ini kita sasarkan 5,000 pokok ditanam lagi tahun ini,” katanya.

Media yang memetik laporan antarabangsa Los Angeles Times dan Reauters sebelum ini melaporkan China sudah melarang import ke atas bahan buangan sisa pepejal di republik itu bulan ini.

Susulan itu, kebanyakan peniaga sisa plastik dunia seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah beralih ke Asia Tenggara terutamanya Malaysia sehingga menimbulkan polemik rakyat negara ini termasuk aktivis alam sekitar dan cendekiawan tempatan.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 11:22am
d