mutakhir

Demi isteriku...

Oleh Nor Farhani Che Ad

“ISTERI pernah menggunakan lima lampin pakai buang pada satu malam bagi menyerap air bisa yang keluar akibat luka kanser payudara yang dihidapinya,” kata Muhizan Hassan, 49.

Muhizan adalah suami kepada Zaridah Abdul Hamid, 50, yang kini menderita kanser yang dialaminya sejak awal tahun lalu.

Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mengubati penyakit isterinya itu termasuk membawanya ke 14 tempat rawatan tradisional di Kedah dan Perlis, namun penyakit itu semakin parah.

“Mulanya isteri hanya merasa panas dan bengkak biasa dan kami tidak menyangka apabila pemeriksaan di sebuah klinik mendapati terdapat ketulan bersaiz tiga sentimeter pada payudara kirinya.

“Semua simpanan kami digunakan untuk merawat penyakitnya itu namun bengkak itu semakin membesar sehingga ia pecah September lalu,” katanya ditemui di rumah mereka di Taman Semarak, Sungai Petani semalam.

Muhizan berkata, kini isterinya itu hanya mampu terbaring kerana keadaannya semakin lemah sehingga memaksanya mengambil keputusan bercuti tanpa gaji bagi menjaga serta mengurus dua anak berusia 17 dan 23 tahun yang masih belajar.

“Saya tidak sampai hati membiarkan isteri seorang diri di rumah kerana dia kini sedang menjalani rawatan kemoterapi yang memerlukannya ke hospital beberapa kali seminggu.

“Sejak November lalu, saya memberi sepenuh tumpuan kepada isteri dan hanya bergantung dengan bantuan ahli keluarga dan rakan memandangkan saya tiada sumber pendapatan ketika ini,” katanya.

Katanya, selain lampin pakai buang, isterinya itu memerlukan susu khas dan peralatan mencuci luka dianggarkan lebih RM500 setiap bulan.

Dalam pada itu, Muhizan berkata, dia bersyukur permohonan untuk bantuan bulanan yang dipohon baru-baru ini sudah diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dijangka diterima bulan depan.

Bagi yang ingin membantu, boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Muhizan di 0230029000130621.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 11:57am
d