mutakhir

Polis ambil keterangan lanjut anak Maria Chin

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS akan mengambil keterangan lanjut terhadap anak lelaki sulung Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang cedera ditikam dalam kejadian cubaan samun di Taman Bukit Mayang Emas, Petaling Jaya, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashriman Ku Mahmood berkata, mangsa sudah dibenarkan keluar daripada hospital semalam.

“Keterangan awal sudah ambil pada hari kejadian, namun selepas mangsa dibenarkan keluar, keterangan lanjut akan diambil.

“Setakat ini, polis masih mengesan suspek yang menikam lelaki berkenaan,” katanya.

Ku Mashariman berkata, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

“Kita juga sudah memperoleh petunjuk baharu dalam mengenal pasti identiti suspek hasil dari keterangan awal dari mangsa kelmarin,” katanya.

Ahad lalu, mangsa cedera akibat ditikam dalam kejadian cubaan samun di Taman Bukit Mayang Emas, Petaling Jaya.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa yang sedang berjoging ditolak dari bahagian belakang oleh suspek yang cuba menyamunnya sebelum ditikam di bahagian perut hingga menyebabkan kecederaan dalaman antara satu hingga dua sentimeter.

Suspek yang tidak sempat mengambil apa-apa barang berharga daripada mangsa dan dipercayai melarikan diri selepas sebuah motosikal menghampiri mereka.

Berita berkaitan

Polis ada petunjuk baharu

'Anak Ahli Parlimen PJ cedera ditikam'

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 1:05pm
d