mutakhir

Tanah tokong ada pusara, milik kerajaan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap

PEMBINAAN tokong yang turut menempatkan kubur Allahyarham Kadi Padang Segenting berusia 400 tahun di Bukit Sarin, Jalan Kuala Klawang-Simpang Pertang, Jelebu, adalah tidak sah mengikut undang-undang.

Pegawai Penyelaras Pertadbiran Masjid Daerah Jelebu, Mohd Fadzil Abdul Ghani berkata, tokong itu dibina di tanah simpanan milik Hotel Sri Klawang yang juga milik kerajaan negeri.

Katanya, tindakan itu menunjukkan pembinaan dibuat secara haram atau menceroboh tanah milik kerajaan.

“Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah yang dipengerusikan semalam, saya dimaklumkan Pejabat Tanah (daerah) lokasi tapak itu berstatus tanah simpanan milik Rumah Rehat Klawang (kini Hotel Sri Klawang).

“Berkaitan pemindahan kubur, Pejabat Agama Islam daerah masih menunggu keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), pejabat mufti dan kerajaan negeri,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Fadzil berkata, susulan laporan akhbar berhubung penempatan kubur dalam tokong, jawatankuasa fatwa dibentuk dan ia kini di peringkat perbincangan.

Katanya, buat masa ini terdapat dua pilihan sama ada menjadikan tapak tokong sebagai makam atau memindahkan kubur Kadi Padang Segenting ke kawasan lain.

“Keputusan ini hanya dapat diketahui berdasarkan mesyuarat jawatankuasa fatwa pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.

“Pemeriksaan dibuat kami bersama Bahagian Pelan, Pejabat Tanah Daerah Jelebu mendapati pembinaan tokong memang tidak sah dan menceroboh,” katanya.

Sementara itu jurucakap Pejabat Tanah dan Daerah Jelebu ketika dihubungi mengesahkan tokong terbabit dibina di atas tanah rizab milik kerajaan negeri.

Katanya, pihaknya akan mengeluarkan notis bagi memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan tokong dalam masa terdekat.

Harian Metro pada 22 Januari lalu melaporkan kubur Allahyarham Kadi Padang Segenting yang juga kadi pertama daerah ini ditempatkan dalam tokong di bukit berkenaan.

Kubur itu dipercayai bertapak pada 1890 diikuti pembinaan tokong pada 1980.

Waris kadi berkenaan, Dr Mohd Firdaus Abdul Manaf bagaimanapun tampil dan menjelaskan kubur itu berusia lebih 400 tahun selain terdapat beberapa kubur lain milik ahli keluarganya di kawasan bukit berdekatan.

Berita berkaitan

400 tahun

'Pusara dalam tokong

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 1:27pm
d