mutakhir

Ada masalah apa bang?

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TINDAKAN pantas pasukan bomba dan penyelamat berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki berusia 39 tahun membunuh diri di tingkat dua, bangunan JB Sentral berhadapan Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima panggilan dari bilik Gerakan JB Sentral pada jam 8.30 pagi membabitkan cubaan bunuh diri.

“Berdasarkan laporan itu, seorang lelaki tidak diketahui warga negara cuba terjun dari aras dua Bangunan JB Sentral berhadapan Jalan Tun Abdul Razak.

“Bagaimanapun lelaki itu berjaya diselamatkan pasukan bomba dan anggota polis Balai Bangunan Sultan Iskandar,” katanya.

Katanya, lelaki yang beralamat di Ampang, Selangor itu kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam kenyataan berkata, tujuh anggota dan seorang pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru tiba ke lokasi kejadian pada jam 8.40 pagi.

“Lelaki itu berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 2:24pm
d