mutakhir

Pelancong China maut dalam nahas

Oleh Hamzah Osman

PELANCONG lelaki warga China maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Jalan Datai, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, mangsa, Wang Bing Zhong, 70, dari Beijing, China disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Langkawi (HL).

Seorang lagi mangsa kanak-kanak, Liu Yanci, 4, juga dari Beijing, China cedera di kepala dan masih menerima rawatan di wad hospital sama.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pemandu kenderaan terbabit melarikan diri sejurus kemalangan dan masih gagal membuat laporan polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika warga emas terbabit bersama kanak-kanak itu sedang melintas jalan untuk melihat monyet di bahu jalan.

“Bagaimanapun, pada masa sama datang sebuah kenderaan yang dipandu dari arah Datai menghala ke Kampung Ewa gagal dikawal sebelum merempuh kedua-dua mangsa.

“Kedua-dua pejalan kaki itu kemudian dihantar oleh orang awam ke HL untuk rawatan lanjut, sebelum dimaklumkan lelaki terbabit meninggal dunia jam 12.45 tengah hari,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran bagi memberi maklumat untuk membantu siasatan.

“Keluarga mangsa juga difahamkan sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi Kedutaan China di Kuala Lumpur.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 6:21pm
d