mutakhir

Rasuah di Malaysia serius

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

SOAL selidik yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati 82 peratus responden berpendapat isu rasuah dan salah guna kuasa di negara berada pada tahap membimbangkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, data itu diperoleh hasil soal selidik terhadap responden yang terdiri daripada pelajar, kakitangan awam dan swasta serta pesara pada Hari Antirasuah yang diadakan di seluruh negara.

Katanya, responden diminta menyatakan skala satu sehingga 10 berkenaan gejala rasuah yang berlaku di tanah air.

“Jika pilihan responden pada skala enam dan ke atas, kita klafikasikan sebagai tahap serius dan apabila pengiraan dibuat, 82 peratus memilih skala enam dan ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengetuai barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri melafazkan ikrar bebas rasuah.

Ditanya sama ada SPRM terkejut dengan data yang diperoleh, Shamshun Baharin berkata, ia adalah fakta dan semua pihak perlu menerimanya dengan terbuka.

Justeru katanya, menerusi Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, usaha mengekang budaya rasuah akan diperhebatkan dengan matlamat supaya Malaysia dikenali sebagai integriti dan bukan sebagai negara rasuah.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 6:55pm
d