mutakhir

[UPDATE] Mangsa dipercayai dibunuh...

Oleh Balqis Jazimah Zahari

RANGKA manusia yang ditemui di kawasan semak berdekatan sebuah kilang di Jelapang, Ipoh dipercayai mangsa bunuh berikutan penemuan pisau pemotong sayur berukuran 20 sentimeter berhampiran rangka berkenaan.

Rangka lelaki dikenali sebagai Wan Izani Mustaffa, 46, itu ditemui lengkap berpakaian jam 11 pagi sebelum pemeriksaan menemui lesen memandu dan kad pengenalannya di dalam saku pakaian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, polis turut menemui kesan darah pada pisau yang ditemui di belakang badan mangsa serta kesan tikaman di bahagian hadapan perut kiri.

Menurutnya, semakan terhadap identiti mendapati mangsa masih belum berkahwin dan beralamat di Selayang Baru, Batu Caves, Selangor.

“Patologi hadir ke tempat kejadian dan memberitahu mangsa sudah mati lebih daripada seminggu. Pemeriksaan lanjut pasukan K9 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Perak tidak menemui apa-apa yang mencurigakan.

“Kawasan kejadian tidak mempunyai CCTV (kamera litar tertutup) dan setakat ini tiada saksi kejadian dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sementara itu, Penyelia Sesalur Voltan Tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ipoh, Mohammad Khairul Sazwan berkata, dia didatangi kontraktor yang kemudian memaklumkan penemuan rangka berkenaan.

Katanya, kontraktor terbabit menyedari perkara itu ketika mengundurkan lori sebelum mendapati ada mayat di sebelah kenderaannya.

“Pada awalnya saya ingat mereka (pihak kontraktor) hanya bergurau, namun sebaik tiba di lokasi saya terperanjat melihat mayat yang hanya tinggal tulang, baju dan seluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, dia kemudian meminta kontraktor berkenaan membuat laporan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Mayat reput ditemui dalam semak

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 7:22pm
d