mutakhir

Kantoi di tanah perkuburan bersama motosikal curi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEORANG lelaki hanya sempat melaram motosikal yang dicurinya bersama rakan selama lima hari apabila dia ditahan polis berhampiran Tanah Perkuburan Kampung Imam, di Jitra, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, suspek berusia 34 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC terkejut apabila ditahan polis yang sedang menjalankan pemeriksaan sebelum dia terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal itu dicurinya bersama seorang rakan pada Sabtu lalu di Kampung Baru Pondok Air Hitam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa menyedari motosikalnya hilang apabila ingin mengambil kenderaannya yang diletakkan di hadapan rumah jam 6.30 pagi Ahad lalu sebelum dia membuat laporan polis.

“Siasatan awal suspek mengaku mencuri motosikal itu untuk kegunaan hariannya.

“Semakan juga mendapati dia memiliki rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan sudah dijatuhi hukuman,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Ismail berkata, suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di sebuah rumah di Kampung Pida 2 Mukim Jeram, jam 11.30 pagi ini kerana terbabit dalam kegiatan curi motosikal dan pecah rumah.

“Malah ketika serbuan itu, polis turut merampas rangka motosikal bersama enjin, dan dokumen pengenalan diri dan kad bank yang dicuri ketika memecah masuk rumah di Kampung Bohor Karang, Air Hitam.

“Suspek juga mengaku mencuri sebuah motosikal Yamaha Lagenda di Kampung Gelong Jitra dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun di Kampung Pida 2,jam 11.45 pagi ini kerana terbabit dalam kejadian pecah rumah di Kampung Tanjung Sena, Tunjang.

“Suspek memecah masuk rumah itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas pada 5 Disember tahun lalu jam 5 petang dan melarikan duit syiling, komputer riba serta permainan video Sony Play Station 4 (PS4).

“Semakan juga mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 8:00pm
d